Salam Jumaat….
FIRMAN Allah SWT: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)
Setelah Allah SWT memerintahkan kepada orang yang beriman supaya menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli pada ayat ke sembilan surah al-Jumu'ah, maka ayat seterusnya Allah SWT memerintahkan masing-masing segera keluar mencari rezeki Allah di muka bumi ini.
Di atas keyakinan dan kefahaman kepada ayat ini, seorang tabiin bernama Irak Bin Malik berdoa selepas solat Jumaat di hadapan pintu masjid: "Ya Allah, aku telah menyahut seruan-Mu, aku telah menunaikan solat seperti yang Engkau fardukan dan aku keluar seperti mana yang Engkau perintahkan, maka kurniakanlah kepadaku daripada kurnia-Mu kerana Engkau adalah sebaik-baik pemberi rezeki."